Monday, 16 December 2013
Tapak Disangka ‘Bigfoot’ Rupanya Milik Tapir
Segamat: Penemuan tapak kaki gergasi di Kampung Gudang Garam, di sini, kelmarin yang menggemparkan penduduk hingga ada yang mendakwa sebagai milik ‘bigfoot’ atau mawas, sebenarnya milik tapir.
Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor berkata, tapak kaki gergasi yang ditemui seorang pemilik kebun sayur, Liew Tze Chong, 58, sebenarnya milik tapir, bukannya mawas atau ‘bigfoot’.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat, pihaknya menghantar kakitangan ke tempat penemuan kesan tapak kaki itu untuk menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan mendapati ia bukan kesan tapak kaki mawas atau ‘bigfoot’, sebaliknya milik tapir.
“Ia milik tapir yang dianggarkan seberat 500 kilogram.
“Berdasarkan siasatan dilakukan, contoh sampel ‘Plaster Cast’ kesan tapak kaki yang pernah dibekukan iaitu selebar 15 sentimeter dan kuku tengah depan sepanjang 3.5 sentimeter digunakan,” katanya ketika ditemui di Pejabat PERHILITAN Segamat di sini, semalam.
Menurutnya, tapir berkenaan dipercayai dari kawasan hutan berhampiran Gunung Ledang dan pergi ke kawasan berkenaan untuk mencari makanan.
Ditanya bagaimana saiznya terlalu besar, beliau berkata, ia terhasil apabila tapir berkenaan memijak menggunakan kaki depan diikuti kaki belakang di tempat sama.
“Tapir hanya memakan dedaun tumbuhan dan memasuki kawasan kebun berkenaan mungkin untuk mencari makanan.
“PERHILITAN sedang berusaha mengesan tapir berkenaan sebelum mengembalikannya ke habitat sebenar,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan penemuan kesan tapak kaki itu kerana boleh mengelirukan orang ramai selain membimbangkan pekebun dan penduduk sekitar.
“Jika ada pihak mahu menyalurkan maklumat berkaitan tapir berkenaan, mereka diminta menghubungi pejabat PERHILITAN di talian 07-9311214,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment