Social Icons

..

Monday, 16 December 2013

‘Kami bakal rugi besar’

Kuala Lumpur: Tutup perniagaan. Itu tindakan terakhir beberapa peniaga makanan di sekitar Sentul dan Setapak jika gangguan bekalan air berlanjutan dalam tempoh lama.

Wan Hamimah Ahmed, 54, berkata peniaga makanan sepertinya tidak mempunyai banyak pilihan, selain menutup perniagaan dan menanggung rugi kerana memerlukan banyak air sepanjang beroperasi.

“Seawal membuka perniagaan pada jam 7 pagi, kami akan menggunakan air untuk membersih dan memasak makanan.

“Selain itu, air juga diguna untuk membersihkan peralatan memasak dan membersihkan gerai.

“Justeru apabila gangguan bekalan air berlanjutan lebih dua hari, ia memang menyukarkan peniaga makanan seperti saya beroperasi,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Tambahnya lagi, dia juga terpaksa menanggung kerugian termasuk bayaran tiga pekerjanya walaupun tidak beroperasi.

“Sebelum ini pernah berlaku gangguan bekalan air, tapi tidak lama. Biasanya saya akan membawa bekalan air dari rumah atau tempat lain ke kedai.

“Tapi jika air terputus dalam tempoh yang lama, saya terpaksa menutup perniagaan sehingga bekalan air pulih,” katanya.

Seorang lagi pengusaha makanan di Medan Aneka Jalan Genting Klang, Hajar Radzuan, 43, berkata, beliau dan suaminya terpaksa menyimpan bekalan air sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air.

“Namun sudah tentu ia boleh bertahan sehari dua saja. Tahun lalu saya pernah berdepan gangguan bekalan air selama dua hari.

“Di sini saya menggunakan sistem tapisan bagi setiap bekalan air paip di kedai makanan bagi memastikan air lebih bersih digunakan.

“Apabila terputus bekalan air nanti, saya terpaksa menggunakan air mineral untuk membuat minuman,” katanya.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengeluarkan kenyataan gangguan bekalan air hari ini bagi menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama Rumah Pam Air Bersih (TWPH).

No comments:

Post a Comment