Social Icons

..

Sunday, 1 December 2013

Malu Ke Pakai Baju Yang Sama?


Bukan seorang dua yang berdepan dengan situasi begini. Sesetengahnya menganggap situasi ini suatu masalah. Remaja terutamanya yang cerewet memilih pakaian, bukan saja mengambil kira warna dan corak malah bimbang ia akan sama dengan pilihan orang lain. Walhal mereka sedar ketika membeli, bukan sehelai dua yang digantung di rak itu.

Bahkan, mereka sanggup bertanyakan jurujual sama ada pakaian yang dipilih masih ada di dalam stok atau sebaliknya.

Namun, ada ketikanya kita tidak dapat mengelak sekiranya pakaian yang digayakan ke majlis rasmi, sama dengan tetamu lain. Muka mula ‘menebal’, seolah-olah ingin berlari balik ke rumah.


Jika kebetulan sama dengan rakan baik sendiri mungkin bukan masalah besar, bahkan siap gambar berdua dan muat naik dalam Instagram tapi jika serupa dengan mereka yang tak dikenali, rasa nak pengsan atau ghaib dari tempat itu.

Tambahan pula, diri sibuk mencanang kepada rakan lain bahawa pakaian yang dipakai sukar untuk dapat di mana-mana lokasi membeli belah atau edisi terhad tapi secara tak sengaja ada orang lain juga memakainya. Pasti malu bertahun!

Rakan lain pula pasti ‘tidak melepaskan peluang’ untuk bertindak membalas semula apa yang dicanangkan sebelum itu. Inilah masanya untuk mereka memulang paku buah keras!

Bayangkan pakaian yang dibeli dengan harga mahal, hasil mengumpul duit gaji demi mencari kepuasan ke atas sehelai pakaian impian tetapi perasaan bertukar serba tak kena bila melihat orang lain turut menyarung baju yang sama. Arghhhhh! Macam mana boleh jadi ni?


Simpan buat koleksi

Apabila hal ini terjadi, sesetengah remaja pasti mengambil keputusan drastik untuk tidak lagi memakai pakaian itu pada masa akan datang, bimbang jika pisang berbuah dua kali.

Anggun mana sekalipun pakaian yang dipakai, tidak sesekali akan disarung lagi dan sanggup memberikannya kepada orang lain sebagai hadiah.

Jika warna saja sama dan corak lain, mungkin tak perasan sangat tapi kalau seratus peratus serupa memang terus simpan dalam almari tanpa ada niat untuk memakainya lagi.

Sama dengan perabot rumah.

Cuba bayangkan, pakaian yang disarung ke badan sama dengan kain langsir atau tikar getah. Jangan berkata ia mustahil terjadi kerana realitinya memang ada. Namun ia berlaku secara kebetulan, jika baju, seluar atau kain yang dipakai sama dengan perabot di rumah.

Bagaimana cara nak hadapi situasi ini? Pertama, jangan panik jika ada yang memakai baju sama dengan anda. Kedua, jauhkan diri daripada perabot di rumah rakan yang serupa dengan pakaian yang dipakai, bimbang diejek.

Langkah seterusnya, jika ada rakan yang perasan, berpura-pura mengatakan anda tidak kisah memakai baju sama dengan orang lain sedangkan dalam hati menjerit malu. Lumrah kini, di mana terlalu banyak pakaian manusia yang direka bercorak petak dan bulat ‘polkadot’ yang kebanyakannya serupa dengan corak perabot atau aksesori di rumah.

Hal yang berlaku, membuatkan kita sentiasa waspada memilih pakaian di tempat membeli belah dan harus bijak memilih pakaian yang secocok dengan tubuh serta sesuai digayakan setiap hari.

SUMBER

No comments:

Post a Comment